Tuesday, February 24, 2009

Lagi mengenai Pengurusan Air

Kepada semua para penternak ketam nipah sila beri tumpuan mengenai Pengurusan air.

1. Sila pastikan kotak sistem penapisan air dalam keadaan bersih. Bersihkan kotak sistem penapisan air seminggu sekali. Bagi memudahkan proses pembersihan, sila pamkan air naik ke kesemua kotak/petak yang ada ketam setinggi 3 inci dan biarkan air bertakung disitu. Sila matikan suis pam air. Air di kotak sistem penapisan air akan berkurangan dan ini akan memudahkan untuk membersihkan kotak tersebut. Keluarkan dan cuci kesemua fiber mat, cengkerang (coral) dan bio serta ring ball menggunakan air paip. Jangan lupa untuk buang air dan mencuci kotak penapisan air tersebut. Setelah kesemuanya sudah dibersihkan, masukkan fiber mat, cengkerang, bio dan ring ball ke tempat asalnya kedalam kotak penapisan air. Sila masukkan semua cengkerang dalam jaring ( sama seperti jaring yang digunakan untuk mengisi ring dan bio ball) supaya mudah untuk dikeluarkan dan dicuci. Masukkan air paip yang sudah ditakungkan selama 2-3 hari atau lebih (air paip yang dah ditakungkan dalam tangki yang memang sudah sedia ada samada pada setiap rumah atau bangunan juga boleh digunakan) kedalam kotak penapisan air sama banyaknya air ketika kotak tersebut sebelum dibersihkan. Selepas itu, lepaskan air yang ditakungkan di kotak/petak yang ada ketam kebawah, ke dalam kotak penapisan air. biarkan buat seketika supaya air tersebut sebati. Setelah itu, hidupkan suis pam air supaya air tersebut dapat dikitarkan semula. Jangan lupa untuk melakukannya 1 minggu 1 kali supaya air tersebut sentiasa bersih. pada keesokan harinya sila periksa tahap amonia, Ph dan kemasinan air tersebut dan lakukannya setiap hari. Sila pastikan tahap amonia, Ph dan kemasinan air berada pada bacaan yang betul.

2. Jika bacaan amonia air berada pada tahap yang tinggi, jangan tambah probiotik untuk mengelakkan pembaziran. Sila buangkan air yang kotor dalam kotak penapisan air sebanyak 30-50%. Kemudian tambahkan air baru (air paip yang sudah ditakungkan) kedalam kotak penapisan air. Setelah kesemua air tersebut sudah sebati, sila periksa bacaan amonia, Ph dan kemasinan air dan pastikan bacaan pada tahap yang betul.

3. Para penternak juga, dinasihatkan supaya membuat lubang sebesar duit syiling 20-50 sen pada penutup kotak/petak fiber supaya gas amonia tidak terperangkap dalam petak-petak tersebut serta dapat keluar melalui lubang-lubang tersebut.

4. Pada peringkat permulaan ini, para penternak digalakkan untuk menghasilkan ketam kulit lembut. Pada kebiasaannya ketam akan bersalin kulit pada waktu malam dan kadangkalanya ada juga yang bersalin kulit pada waktu siang atau tengah hari. Sentiasa perhatikan keadaan ketam-ketam tersebut semasa memberi makan dan juga semasa membersihkan sisa-sisa makanan pada waktu yang telah ditentukan. Sekiranya perkara ini menjadi rutin harian para penternak maka tuan-tuan dan puan-puan akan lebih mengetahui tentang habitat ketam-ketam ini.

Sekiranya, kesemua ini dilakukan secara berterusan maka air dalam set sistem ini akan sentiasa bersih dan ketam yang ada juga akan sihat, bersalin kulit dan membesar dengan teratur. Lama kelamaan para penternak akan dapat menambah pengetahuan dan kemahiran dalam sistem pengurusan air.

Perlu diingatkan bahawa SISTEM PENGURUSAN AIR adalah perkara yang paling penting dan utama dalam ternakan ketam nipah secara tertutup ini. Sekiranya sistem pengurusan air dapat dilakukan dengan sempurna maka ketam yang diternak akan dapat dihasilkan dengan baik dan sempurna.

Monday, February 2, 2009

Penjagaan dan Kawalan Mutu Air bagi peserta yang mempunyai set sistem yang lama.

Kepada penternak yang menggunakan set sistem lama, disini dipaparkan penjagaan serta kawalan mutu air supaya ketam akan lebih sihat dan cergas.

1. Pastikan dan periksa kadar ammonia setiap hari secara konsisten iaitu dengan bacaan 0 . Sekiranya kadar amonia meningkat menjadi 4 - 8 sila tambahkan probiotik dalam set sistem sepertimana yang telah ditunjukajar oleh juruteknik syarikat. Jangan panik. Sekiranya probiotik dah ditambahkan dan kadar amonia masih tinggi, maka cuba kurangkan air di tempat air kotor keluar sekitar 30-50 peratus. Tambahkan air paip yang dah ditakungkan selama 2-3 hari kedalam kotak penapisan air.

2. Sentiasa pastikan air di kotak penapisan air adalah bersih. Jika boleh segala sisa-sisa kotoran yang kecil dibersihkan. Salah satu cara untuk menapis sisa-sisa kotoran yang kecil iaitu dengan menggunakan stokin terpakai yang tidak digunakan diikatkan kepada saluran paip air kotor keluar bagi memerangkap sisa-sisa kotoran yang kecil. Ini akan memudahkan kerja=kerja pembersihan sisa-sisa kotoran.

3. Sila pastikan kadar bacaan Ph air adalah sekitar 6.5 . Ramai penternak mendapat bacaan Ph sekitar 7.6 . Bagi menurunkan kadar Ph dari 7.6 ke 6.5 , maka disyorkan atau sila gunakan daun ketapang yang kering sekitar 3 helai dan letakkan di kotak penapisan air dibawah bio ball dan ringawah ball ditempatkan. Seandainya bacaan Ph turun dari 6.5 kebawah maka keluarkanlah daun ketapang tadi dari set sistem. Sila pastikan kadar Ph adalah sekitar 6.5 kerana jika kadar amonia meningkat menjadi 3 , maka ketam masih boleh hidup selesa didalam set sistem ini.

4. Jika boleh, kotak fiber dibersihkan dahulu dengan merendamkan kulit nenas dan batang pisang di setiap kotak fiber ini selama 2 hari agar tindak balas kimia atau toksik di kotak fiber ini dapat dikurangkan dan dihapuskan sebelum benih ketam ditempatkan didalam set sistem bagi mengelakkan dan mengurangkan kadar kematian ketam didalam set sistem.

5. Untuk memeriksa kadar kemasinan air didalam set sistem ini, di syorkan agar penternak membeli alat pengukur kemasinan air yang boleh didapati di kedai akuarium dengan harga kurang dari RM20.00. Sila dapatkan tunjukajar dari penjual alat tersebut cara untuk menggunakan alat ini. Sila pastikan kadar kemasinan air sekitar 20 ppt.

Diharap perkara diatas dapat membantu penternak dalam menjaga dan mengawal mutu air dalam set sistem ini supaya ketam dapat hidup sihat dan membesar dengan lebih cepat serta penternak dapat pulangan yang memuaskan.

Jika ada diantara penternak yang ada tips=tips yang lain silalah kongsi bersama di blog ini supaya dapat membantu penternak lain terutama yang baru berkecimpung dalam ternakan ketam nipah secara tertutup ini.

Anggaran Untung Kasar Bagi 1 Set Sistem Baru

Anggaran Hasil Jualan kepada Sykt Penganjur:-
1. Jualan (90% hidup dari 324 ekor = 291 ekor dengan anggaran berat 1 ekor = 300 gm)
87.5 kg X RM17.00/kg = RM1,487.50

Anggaran Kos Operasi bagi 1 set sistem terkini yang boleh memuatkan 324 ekor ketam.

1. Benih ketam dengan harga RM10.00/kg dengan berat purata 100 gm. seekor (atau 1 ekor benih ketam bersamaan RM1.00) = RM324.00

2. Makanan ketam (ikan) iaitu 148.8 kg dengan harga RM3.50/kg = RM520.63

3. Elektrik = RM10.00

4. Test Kit bagi kawalan mutu air = RM40.00

5. Selenggara Set Sistem = RM50.00

JUMLAH KOS OPERASI = RM944.63

ANGGARAN UNTUNG KASAR = HASIL JUALAN TOLAK KOS OPERASI
= RM1,487.50 - RM944.63
= RM542.87 sebulan

NOTA:

Harga belian balik oleh syarikat penganjur bagi ketam nipah adalah seperti berikut:-
1. Ketam kulit lembut (mati) dengan berat purata 200 gm seekor = RM17.00/kg
2. Ketam Kulit keras (hidup) dengan berat purata 300 gm seekor = RM17.00/kg
3. Ketam kulit keras (hidup) dengan berat purata 500 gm seekor = RM28.00/kg

Oleh itu, harga belian balik oleh syarikat penganjur bergantung kepada saiz serta berat ketam nipah yang dihasilkan terutamanya bagi jenis kulit keras.

Friday, January 23, 2009

Set Sistem Yang Baru

Untuk makluman, set sistem yang baru akan dikeluarkan mulai pertengahan Februari 09. Set sistem yang baru boleh memuatkan 324 ekor ketam dengan kadar kehidupan yang lebih baik. Senang dan mudah untuk diselenggara. Memang menarik serta ketam akan lebih selesa kerana sistem pengairan yang lebih sempurna. Bentuk set sistem ini macam kondominium berukuran 2.5 kaki (lebar) X 12 kaki (panjang) X 6 kaki (tinggi). Set sistem yang baru ini dikeluarkan bagi manambah baik daripada set sistem yang lama. Gambar akan dipaparkan dalam bulan Februari 2009 selepas dilancarkan.

Kotak/petak bagi menempatkan ketaam nipah adalah diperbuat dari plastik yang tahan lama (heavy duty) dengan kitaran air bersih yang lebih baik iaitu ketam akan menikmati 40 kali ganda air bersih bagi setiap jam dengan kadar oksigen yang tinggi . Ini bermakna ketam akan lebih sihat, cergas dan aktif. Ketam juga akan bersalin kulit dan membesar dengan sempurna.