Tuesday, February 24, 2009

Lagi mengenai Pengurusan Air

Kepada semua para penternak ketam nipah sila beri tumpuan mengenai Pengurusan air.

1. Sila pastikan kotak sistem penapisan air dalam keadaan bersih. Bersihkan kotak sistem penapisan air seminggu sekali. Bagi memudahkan proses pembersihan, sila pamkan air naik ke kesemua kotak/petak yang ada ketam setinggi 3 inci dan biarkan air bertakung disitu. Sila matikan suis pam air. Air di kotak sistem penapisan air akan berkurangan dan ini akan memudahkan untuk membersihkan kotak tersebut. Keluarkan dan cuci kesemua fiber mat, cengkerang (coral) dan bio serta ring ball menggunakan air paip. Jangan lupa untuk buang air dan mencuci kotak penapisan air tersebut. Setelah kesemuanya sudah dibersihkan, masukkan fiber mat, cengkerang, bio dan ring ball ke tempat asalnya kedalam kotak penapisan air. Sila masukkan semua cengkerang dalam jaring ( sama seperti jaring yang digunakan untuk mengisi ring dan bio ball) supaya mudah untuk dikeluarkan dan dicuci. Masukkan air paip yang sudah ditakungkan selama 2-3 hari atau lebih (air paip yang dah ditakungkan dalam tangki yang memang sudah sedia ada samada pada setiap rumah atau bangunan juga boleh digunakan) kedalam kotak penapisan air sama banyaknya air ketika kotak tersebut sebelum dibersihkan. Selepas itu, lepaskan air yang ditakungkan di kotak/petak yang ada ketam kebawah, ke dalam kotak penapisan air. biarkan buat seketika supaya air tersebut sebati. Setelah itu, hidupkan suis pam air supaya air tersebut dapat dikitarkan semula. Jangan lupa untuk melakukannya 1 minggu 1 kali supaya air tersebut sentiasa bersih. pada keesokan harinya sila periksa tahap amonia, Ph dan kemasinan air tersebut dan lakukannya setiap hari. Sila pastikan tahap amonia, Ph dan kemasinan air berada pada bacaan yang betul.

2. Jika bacaan amonia air berada pada tahap yang tinggi, jangan tambah probiotik untuk mengelakkan pembaziran. Sila buangkan air yang kotor dalam kotak penapisan air sebanyak 30-50%. Kemudian tambahkan air baru (air paip yang sudah ditakungkan) kedalam kotak penapisan air. Setelah kesemua air tersebut sudah sebati, sila periksa bacaan amonia, Ph dan kemasinan air dan pastikan bacaan pada tahap yang betul.

3. Para penternak juga, dinasihatkan supaya membuat lubang sebesar duit syiling 20-50 sen pada penutup kotak/petak fiber supaya gas amonia tidak terperangkap dalam petak-petak tersebut serta dapat keluar melalui lubang-lubang tersebut.

4. Pada peringkat permulaan ini, para penternak digalakkan untuk menghasilkan ketam kulit lembut. Pada kebiasaannya ketam akan bersalin kulit pada waktu malam dan kadangkalanya ada juga yang bersalin kulit pada waktu siang atau tengah hari. Sentiasa perhatikan keadaan ketam-ketam tersebut semasa memberi makan dan juga semasa membersihkan sisa-sisa makanan pada waktu yang telah ditentukan. Sekiranya perkara ini menjadi rutin harian para penternak maka tuan-tuan dan puan-puan akan lebih mengetahui tentang habitat ketam-ketam ini.

Sekiranya, kesemua ini dilakukan secara berterusan maka air dalam set sistem ini akan sentiasa bersih dan ketam yang ada juga akan sihat, bersalin kulit dan membesar dengan teratur. Lama kelamaan para penternak akan dapat menambah pengetahuan dan kemahiran dalam sistem pengurusan air.

Perlu diingatkan bahawa SISTEM PENGURUSAN AIR adalah perkara yang paling penting dan utama dalam ternakan ketam nipah secara tertutup ini. Sekiranya sistem pengurusan air dapat dilakukan dengan sempurna maka ketam yang diternak akan dapat dihasilkan dengan baik dan sempurna.

Monday, February 2, 2009

Penjagaan dan Kawalan Mutu Air bagi peserta yang mempunyai set sistem yang lama.

Kepada penternak yang menggunakan set sistem lama, disini dipaparkan penjagaan serta kawalan mutu air supaya ketam akan lebih sihat dan cergas.

1. Pastikan dan periksa kadar ammonia setiap hari secara konsisten iaitu dengan bacaan 0 . Sekiranya kadar amonia meningkat menjadi 4 - 8 sila tambahkan probiotik dalam set sistem sepertimana yang telah ditunjukajar oleh juruteknik syarikat. Jangan panik. Sekiranya probiotik dah ditambahkan dan kadar amonia masih tinggi, maka cuba kurangkan air di tempat air kotor keluar sekitar 30-50 peratus. Tambahkan air paip yang dah ditakungkan selama 2-3 hari kedalam kotak penapisan air.

2. Sentiasa pastikan air di kotak penapisan air adalah bersih. Jika boleh segala sisa-sisa kotoran yang kecil dibersihkan. Salah satu cara untuk menapis sisa-sisa kotoran yang kecil iaitu dengan menggunakan stokin terpakai yang tidak digunakan diikatkan kepada saluran paip air kotor keluar bagi memerangkap sisa-sisa kotoran yang kecil. Ini akan memudahkan kerja=kerja pembersihan sisa-sisa kotoran.

3. Sila pastikan kadar bacaan Ph air adalah sekitar 6.5 . Ramai penternak mendapat bacaan Ph sekitar 7.6 . Bagi menurunkan kadar Ph dari 7.6 ke 6.5 , maka disyorkan atau sila gunakan daun ketapang yang kering sekitar 3 helai dan letakkan di kotak penapisan air dibawah bio ball dan ringawah ball ditempatkan. Seandainya bacaan Ph turun dari 6.5 kebawah maka keluarkanlah daun ketapang tadi dari set sistem. Sila pastikan kadar Ph adalah sekitar 6.5 kerana jika kadar amonia meningkat menjadi 3 , maka ketam masih boleh hidup selesa didalam set sistem ini.

4. Jika boleh, kotak fiber dibersihkan dahulu dengan merendamkan kulit nenas dan batang pisang di setiap kotak fiber ini selama 2 hari agar tindak balas kimia atau toksik di kotak fiber ini dapat dikurangkan dan dihapuskan sebelum benih ketam ditempatkan didalam set sistem bagi mengelakkan dan mengurangkan kadar kematian ketam didalam set sistem.

5. Untuk memeriksa kadar kemasinan air didalam set sistem ini, di syorkan agar penternak membeli alat pengukur kemasinan air yang boleh didapati di kedai akuarium dengan harga kurang dari RM20.00. Sila dapatkan tunjukajar dari penjual alat tersebut cara untuk menggunakan alat ini. Sila pastikan kadar kemasinan air sekitar 20 ppt.

Diharap perkara diatas dapat membantu penternak dalam menjaga dan mengawal mutu air dalam set sistem ini supaya ketam dapat hidup sihat dan membesar dengan lebih cepat serta penternak dapat pulangan yang memuaskan.

Jika ada diantara penternak yang ada tips=tips yang lain silalah kongsi bersama di blog ini supaya dapat membantu penternak lain terutama yang baru berkecimpung dalam ternakan ketam nipah secara tertutup ini.

Anggaran Untung Kasar Bagi 1 Set Sistem Baru

Anggaran Hasil Jualan kepada Sykt Penganjur:-
1. Jualan (90% hidup dari 324 ekor = 291 ekor dengan anggaran berat 1 ekor = 300 gm)
87.5 kg X RM17.00/kg = RM1,487.50

Anggaran Kos Operasi bagi 1 set sistem terkini yang boleh memuatkan 324 ekor ketam.

1. Benih ketam dengan harga RM10.00/kg dengan berat purata 100 gm. seekor (atau 1 ekor benih ketam bersamaan RM1.00) = RM324.00

2. Makanan ketam (ikan) iaitu 148.8 kg dengan harga RM3.50/kg = RM520.63

3. Elektrik = RM10.00

4. Test Kit bagi kawalan mutu air = RM40.00

5. Selenggara Set Sistem = RM50.00

JUMLAH KOS OPERASI = RM944.63

ANGGARAN UNTUNG KASAR = HASIL JUALAN TOLAK KOS OPERASI
= RM1,487.50 - RM944.63
= RM542.87 sebulan

NOTA:

Harga belian balik oleh syarikat penganjur bagi ketam nipah adalah seperti berikut:-
1. Ketam kulit lembut (mati) dengan berat purata 200 gm seekor = RM17.00/kg
2. Ketam Kulit keras (hidup) dengan berat purata 300 gm seekor = RM17.00/kg
3. Ketam kulit keras (hidup) dengan berat purata 500 gm seekor = RM28.00/kg

Oleh itu, harga belian balik oleh syarikat penganjur bergantung kepada saiz serta berat ketam nipah yang dihasilkan terutamanya bagi jenis kulit keras.

Friday, January 23, 2009

Set Sistem Yang Baru

Untuk makluman, set sistem yang baru akan dikeluarkan mulai pertengahan Februari 09. Set sistem yang baru boleh memuatkan 324 ekor ketam dengan kadar kehidupan yang lebih baik. Senang dan mudah untuk diselenggara. Memang menarik serta ketam akan lebih selesa kerana sistem pengairan yang lebih sempurna. Bentuk set sistem ini macam kondominium berukuran 2.5 kaki (lebar) X 12 kaki (panjang) X 6 kaki (tinggi). Set sistem yang baru ini dikeluarkan bagi manambah baik daripada set sistem yang lama. Gambar akan dipaparkan dalam bulan Februari 2009 selepas dilancarkan.

Kotak/petak bagi menempatkan ketaam nipah adalah diperbuat dari plastik yang tahan lama (heavy duty) dengan kitaran air bersih yang lebih baik iaitu ketam akan menikmati 40 kali ganda air bersih bagi setiap jam dengan kadar oksigen yang tinggi . Ini bermakna ketam akan lebih sihat, cergas dan aktif. Ketam juga akan bersalin kulit dan membesar dengan sempurna.

Tuesday, November 4, 2008

Mengenai Ketam Nipah

Ketam Nipah adalah sejenis haiwan laut dari jenis "KRUSTACEA" iaitu bercengkerang seperti udang. Ketam Nipah juga dikenali sebagai Ketam Bakau atau Ketam Lumpur (Mud Crab). Nama saintifiknya pula adalah SYCLLA SERRATA (sedap namanya dan sedap juga apabila dimakan).

Habitat Ketam ini adalah membiak dan hidup di sekitar kawasan paya bakau yang berlumpur. Ketam Nipah membiak secara bertelur. Ketam ini boleh membesar sehingga 4 kg beratnya seekor. Ketam ini adalah dari spesis "carnivor' atau ganas.






Ketam salin kulit











Ketam Nak salin kulit





















Perbezaan saiz ketam selepas salin kulit














Benih benih ketam.

Monday, October 27, 2008

Anggaran Hasil dan Pulangan

Hasil dan pulangan secara kasar adalah anggaran sahaja bagi 1 set sistem akuarium fiber ini untuk kulit keras dan kulit lembut. Perlu diingatkan bahawa hasil dan pulangan diambil kira selepas benih ketam dah dimasukkan kedalam set sistem ini iaitu :-
1. Untuk kulit keras, hasil boleh dituai dan dikira dalam jangka masa 60 hari selepas benih ketam nipah dimasukkan ke dalam set sistem ini. Anggaran hidup Ketam Nipah adalah sekitar 93% atau 112 ekor bagi 1 set sistem.
2. Untuk kulit lembut, hasil boleh dituai dan dikira dalam jangka masa 30 hari selepas benih ketam nipah dimasukkan ke dalam set sistem akuarium ini.
3. Harga jualan adalah berdasarkan kepada harga yang dibeli semula oleh pihak syarikat iaitu RM28-00/kg untuk kulit keras dengan anggaran berat purata 500 gm seekor, RM17-00/kg untuk kulit lembut dengan anggaran berat purata 210 gm seekor.
4. Kos makanan ketam pula iaitu ikan baja berdasarkan kepada harga yang dibekalkan oleh pihak syarikat iaitu RM3-50/kg. Ketam nipah memerlukan lebih kurang 52 kg ikan (untuk 120 ekor ketam kulit keras) sebulan dan 96.43 kg ikan (untuk 360 ekor ketam kulit lembut) sebulan.
5. Kos benih ketam adalah berasaskan kepada harga yang dibekalkan oleh pihak syarikat iaitu RM7-00/kg dan dianggarkan 10 ekor benih ketam bersamaan 1 kg. dengan berat purata sekitar 100 gm seekor.
6. Kos elektrik untuk 1 set ketam adalah dalam anggaran RM10-00 sebulan.
7. Kos peralatan kimia untuk pemeriksaan air bagi 1 set sistem dianggarkan RM40-00 sebulan.
8. Kos penyelenggaraan 1 set sistem dianggarkan RM25-00 sebulan.

A) Anggaran hasil & pendapatan kasar untuk 1 set sistem bagi kulit keras (setiap 2 bulan)
1. Hasil Jualan (112 ekor x 500gm / 1000) = 56.0 kg x RM28-00/kg = RM1,568-00
2. Tolak kos operasi:-
a. Benih ketam (120 ekor x 100gm / 1000) = 12 kg x RM7-00/kg = RM84-00
b. Makanan ketam (52 kg x RM3-50/kg) = RM182-00 x 2 bulan = RM364-00
c. Elektrik ( RM10-00 sebulan x 2 bulan) = RM20-00
d. Peralatan kimia (RM40-00 sebulan x 2 bulan) = RM80-00
e. Selenggara set sistem (RM25-00 sebulan x 2 bulan) = RM50-00
f. Jumlah Kos Operasi = RM598-00 ( 2 bulan)
g. Pendapatan Kasar = Hasil Jualan tolak kos operasi = RM970-00
h. Peratus mengikut hasil jualan = 61.86 % (untung kasar)

B) Anggaran hasil dan pendapatan kasar untuk 1 set sistem bagi kulit lembut (setiap 1 bulan)
1. Hasil Jualan (360 ekor x 210gm / 1000) = 75.60 kg x RM17-00/kg = RM1,285-20
2. Tolak kos operasi:-
a. Benih ketam (360 ekor x 100gm / 1000) = 36 kg x RM7-00/kg = RM252-00
b. Makanan ketam (96.43 kg x RM3-50/kg) = RM337-50
c. Elektrik ( 1 bulan) = RM10-00
d. Peralatan kimia (RM40-00 sebulan) = RM40-00
e. Selenggara set sistem (RM25-00 sebulan) = RM25-00
f. Jumlah Kos Operasi = RM664-50
g. Pendapatan Kasar = Hasil Jualan tolak kos operasi = RM620.70
h. Peratus mengikut hasil jualan = 48.30 % (untung kasar)

Hasil dan pendapatan kasar ini hanyalah anggaran sahaja dan diperolehi setelah benih ketam dimasukkan kedalam set sistem. Jika nak untung lebih, bolehlah jual ketam yang dah matang pada pihak lain dengan harga yang lebih tinggi dari harga yang ditawarkan oleh pihak syarikat. Makanan ketam iaitu ikan boleh juga dibeli dari pihak lain dengan harga rendah daripada yang dibekalkan oleh pihak syarikat.


Kos Set Sistem Akuarium.

Harga bagi 1 set sistem akuarium ini adalah RM6,000 sahaja (tidak termasuk benih ketam dan makanan ketam). Ini termasuk bimbingan serta lawatan ke tempat penternak ketam nipah setiap 2 minggu oleh juruteknik syarikat. Pihak syarikat juga menyediakan 'Contract Farming' melalui perjanjian bertulis untuk tempoh paling minima selama 3 tahun dimana ketam nipah yang dah matang akan dibeli balik oleh pihak syarikat dengan harga RM28-00 / kg (bagi kulit keras) dan RM17-00 / kg (bagi kulit lembut). Benih-benih ketam nipah yang sudah dirawat juga dibekalkan oleh pihak syarikat dengan harga RM7-00 / kg. Berat benih ketam nipah adalah diantara 100-120 gm seekor. Kos pengambilan dan penghantaran dah termasuk sekali. Terbuka kepada semua individu yang menetap di Malaysia sahaja. Memang ada perjanjian bertulis diantara pihak penternak dan syarikat.

Bermula dengan minat, kemahuan dan sikap positif, yang sukar akan menjadi mudah, segala masaalah dapat harungi dan di atasi dan kejayaan sudah pasti.


Ketam Nipah betina dimana saiz badannya lebih besar dari sepitnya.







Ketam Nipah jantan dimana sepitnya lebih besar dari saiz badannya.










Ketam Nipah yang sudah boleh dijual.








Ketam Nipah dengan perbezaan saiz.








benih-benih Ketam Nipah










Benih Ketam Nipah









1 set sistem ini boleh memuatkan 120 ekor ketam nipah bagi kulit keras dan 360 ekor ketam nipah bagi kulit lembut. Kadar hidup ketam nipah menggunakan sistem ini adalah sekitar 93 peratus. Setelah benih ketam nipah dimasukkan kedalam set akuarium ini, ketam nipah akan membesar dengan berat sekitar 450-550 gm seekor (bagi kulit keras) dalam jangkaan masa 70 hari dan sudah boleh dijual. Bagi kulit lembut pula, dalam masa 30 hari ketam nipah dah boleh dijual dengan berat sekitar 200-220 gm seekor.

Makanan ketam nipah adalah ikan dimana ikan yang dah disiang (buang kepala, ekor dan isi perut dan dihiris atau dipotong dan dibasuh) diberikan 1 hari atau 2 hari sekali (mengikut kesesuaian dan bacaan air dalam set sistem akuarium ini).